Wednesday 5 June 2013

LINOPOT – Seni Kulinari Signature Komuniti Dusun.


Bunyi fonetik: li-nē-pēt (i.e. vokal 'o' dibunyikan dengan 'e pepet'; mengikut laras sebutan baku Dusun Bunduliwan)

i
Secara literal, linopot bermaksud bungkusan. Kata dasar adalah 'lopot' (i.e. bungkus atau lipat). Linopot boleh dianggap satu bentuk tata-budaya orang Dusun menghidangkan nasi. Beras yang diguna untuk membuat linopot, secara tradisinya, adalah padi huma. Linopot boleh dibuat daripada nasi semata-mata, atau kadangkala nasi yang sudah digaul dengan gu'ol (keladi), tawadak (labu manis), mundok (ubikayu) atau kasou (keledek).

Ini bergantung kepada acara, musim dan lokaliti semulajadi di sekeliling. Dusun Bundu (Rem et al.) dan Liwan (Yahya et al.) yang berada di pergunungan dan pedalaman, metodenya sedikit lain dengan komuniti Lotud (Anita et al.), Tindal (Gidong et al.) atau Kimaragang (Ony et al.) – yang menghuni kawasan tanah pamah berhampiran pesisir pantai. Kerana akses kepada variasi sumber alam yang berbeza.

Tetapi tidak kira subetnik Dusun yang mana, asas budaya dan falsafah kulinari ini tetap sama. Ia adalah tentang survival, bukan estetika.

ii
Daun untuk membungkus ada macam-macam. Tujuh jenis paling tipikal adalah: punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tintap, longkobung, tarabak dan toropoi. Setiap satu ada kesan aroma tersendiri, dan dipilih mengikut jenis dan tujuan kulinari. Itulah salah satu ciri eksotik masyarakat Dusun. Mereka intim dengan alam, dan bijak bermesra dengan pohon-pohonan.

Kaedah nasi linopot di-'bulugu'-kan (atau dibulatkan) juga ada pelbagai. Antaranya, dengan cara ‘lud'tak’ (dikacau-kacau sampai lembik), ‘tinod’sok’ (ditujah-tujah dengan kayu tod'sok), ‘giniyu’ (digaul-mampat dengan kayu 'gigiyu') atau ‘linabok’ (dihimpit-himpit – biasanya hanya untuk nasi yang sudah digaul dengan ubi-ubian).

iii
Kadang-kadang, membuat linopot ini bagaikan satu ritual – kerana proses tradisinya yang begitu unik dan cermat. Ia perlukan penjiwaan seni yang tinggi. Paling penting, imbangan aroma beras huma (yang ada pelbagai variasi) mesti dijaga supaya sedondon dengan wangi asli daun yang dipilih.

Cara nasi ditanak dan diadun mesti ngam. Jangan pula terlalu keras, atau terlampau lembik. Untuk membangkitkan tikaman selera Dusun asli, linopot selalunya dihidang bersama lauk-lauk tradisional. Antara yang popular adalah: sambal tuhau, jaruk bambangan, bosou (pekasam), taduk (batang keladi), tunduk mundok (pucuk ubi), bilis dan ikan masin (yang digoreng garing).

Kredit: Dr. Rem Dambul

No comments:

Post a Comment